Kementerian Sumber Manusia akan meminda Akta Kerja 1955 bagi membolehkan pekerja wanita di sektor swasta menikmati cuti bersalin daripada 60 hari menjadi 90 hari.

Gambar sekadar hiasan

Timbalan menteri Kementerian Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar, menjelaskan bahawa pihaknya turut akan meminda akta sama agar membolehkan golongan bapa turut diberi cuti ‘paterniti’ (cuti isteri bersalin) selama tiga hari.

Menurutnya, draf pindaan berkenaan sudah disiapkan dan akan dibentangkan di Parlimen dalam tempoh terdekat.

“Kami sudah mengadakan perbincangan dengan Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLEC), wakil kesatuan sekerja dan wakil majikan berhubung perkara ini,” ujarnya.

Gambar sekadar hiasan

“Kerajaan amat prihatin terhadap permintaan kesatuan sekerja dan akan mempertimbangkan setiap cadangan yang dikemukakan,” jelasnya..

Sebelum ini, Pertubuhan Pertolongan Wanita(WAO) meminta supaya cuti paterniti sekurang-kurangnya tujuh hari diperkenalkan dalam sektor swasta berikutan pindaan Akta Kerja 1955.

Walau bagaimanapun, golongan bapa di sektor swasta tidak layak daripada segi perundangan untuk cuti paterniti manakala golongan bapa dalam sektor awam menikmati tujuh hari cuti paterniti bergaji.

Sumber: Harian Metro