Seorang pekerja kontraktor terkejut apabila menemui seketul batu tertera tulisan seakan kalimah Allah SWT berhampiran asrama perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama(SMKA) Jerlun, Kodiang, Kedah, semasa membina tembok pagar di kawasan tersebut.

Pekerja kontraktor, Mohd. Mustaqim Rozani, 33 tahun, menjelaskan bahawa kejadian itu berlaku kira-kira dua minggu lalu semasa dia sedang mengorek tanah sebelum cangkulnya terkena batu tersebut dan terbelah dua.

Menurutnya, kejadian itu disedari kira-kira pukul 11.30 pagi dan dia terus menunjukkan batu itu kepada rakan sekerjanya sebelum memaklumkan kepada pihak sekolah.

“Saya seperti tidak percaya melihat tulisan berbentuk kalimah Allah SWT pada bahagian dalam batu…betapa Allah SWT mahu menunjukkan kebesaran-Nya,” ujarnya

“Sebelum ini saya hanya melihat gambar keajaiban seperti ini tetapi kali ini saya sendiri yang jumpa, ia membuatkan saya rasa teruja dan meningkatkan keimanan saya kepada Allah SWT,” jelasnya.

utusan.com.my

Selain itu, Pengetua SMKA Jerlun, Napisah Salleh, menyatakan bahawa pihaknya bersepakat untuk menyimpan batu itu yang dipercayai berusia ratusan tahun di sekolah berkenaan.

“Kejadian ini cukup menakjubkan buat warga sekolah, apatah lagi struktur batunya yang licin dan hanya terbelah ketika diketuk,” katanya.

“Pihak kami juga merancang merujuk dengan pakar berkaitan bagi mengetahui jenis dan usia sebenar batu berkenaan,” sambungnya.

Sumber: Harian Metro