Mulai 22 Oktober(Khamis) ini, semua pekerja sektor awam dan swasta peringkat pengurusan serta pentadbiran yang berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat(PKPB) diarahkan bekerja di rumah.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menyatakan pelaksanaan arahan itu berkuatkuasa sehingga pelaksanaan PKPB di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Selangor dan Sabah tamat.

Menurutnya, ia melibatkan sejuta pekerja di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.

Difahamkan, keputusan itu dibuat melalui Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara(MKN) oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, selepas mendengar pembentangan Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) berikutan peningkatan kes jangkitan Covid19 membabitkan pekerja di pejabat.

“Terdapat sembilan kluster dari tempat kerja di negeri Selangor sehingga hari ini,” ujarnya.

Gambar sekadar hiasan

“Justeru, pekerja bagi sektor awam dan swasta di peringkat pengurusan serta pengawasan tidak perlu hadir ke pejabat tetapi hanya bekerja dari rumah(Work From Home) sepanjang PKPB,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, pekerja dalam urusan kewangan yang membuat bayaran, pengurusan, penguatkuasaan dan kebajikan diberi pengecualian untuk bekerja di pejabat.

“Majikan perlu mengeluarkan surat pelepasan perjalanan bagi setiap kakitangan yang terpaksa bekerja di pejabat sepanjang tempoh berkenaan,” katanya.

Maklumat lanjut berhubung jenis pekerjaan dan prosedur operasi standard(SOP) akan dimaklumkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri(MITI) menerusi kenyataan media dalam masa terdekat.

Selain itu, pekerja yang tinggal di kawasan Zon Merah pula diwajibkan menjalani ujian swab Covid19 dengan kos akan ditanggung oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial(Perkeso).

Sumber: Harian Metro