Walaupun mempunyai kekurangan diri, ternyata ia tidak menghalang seorang Orang Kurang Upaya(OKU) pendengaran dan bisu, Mohamad Arif Idris, 31 tahun, untuk terus bekerja mencari rezeki.

Oleh itu, Arif gigih mencari rezeki dengan berniaga aiskrim pulut dijual dengan harga RM3 secawan di tapak niaga Persiaran Cakerawala, Subang Bestari, Subang Jaya, bermula pukul 12.30 tengah hari sehingga 3.30 petang pada setiap hari.

Kakak Arif, Saedah Nafisah, 35 tahun, menjelaskan bahawa perniagaan itu baru bermula pada minggu lalu dan itu merupakan ideanya untuk membantu Arif yang baru diberhentikan kerja semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan(PKP).

“Sebelum ini, dia bekerja sebagai kelindan lori dan masih masih bekerja ketika awal PKP dilaksanakan, tetapi kemudian diberhentikan selepas syarikat mengambil langkah mengurangkan pekerja,” katanya.

“Berikutan kekurangan dirinya, agak susah untuk dia mendapat pekerjaan buat masa ini, jadi saya bantu memberinya jalan untuk menjalankan perniagaan itu,” ujarnya yang memberitahu Arif mengalami masalah pendengaran dan bisu sejak lahir.

“Meskipun mempunyai komitmen kerja hakiki sebagai penolong pegawai penyelidik, saya memperuntukkan masa membantunya kerana perniagaan masih di peringkat awal dan enggan membiarkan Mohamad Arif sendiri ketika berurusan dengan pelanggan,” jelasnya yang membantu Arif berniaga semasa waktu makan tengah hari bersama adik bongsunya, Mohamad Amir, 20 tahun.

“Walaupun fizikalnya nampak normal, dia adalah OKU dan bagi mengelakkan salah faham, saya cetak kertas lengkap dengan harga serta simbol nombor, sekali gus pelanggan hanya perlu menggunakan isyarat jari sewaktu membuat pesanan,” sambungnya.

“Pada kertas dicetak itu, tertera perkataan meminta bantuan pelanggan untuk membantu Mohamad Arif dalam urusan pemulangan baki,” tambahnya lagi.

“Nampak dia kekok pada mulanya kerana tidak biasa, tetapi kelebihannya adalah cepat belajar dan pandai menghargai pelanggan serta mengucapkan terima kasih walaupun dengan bahasa isyarat,” katanya.

“Tak sangka pula, orang dari jauh pun datang membeli dan saya lihat rakyat Malaysia memang prihatin,” ujarnya.

“Diharap, sokongan orang ramai berterusan dan biarpun tidak banyak, sekurang-kurangnya dia ada pendapatan serta tidak duduk di rumah tanpa berbuat apa-apa,” sambungnya.

Sumber: Harian Metro