Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melaksanaan pemasangan kamera badan bagi mencegah fitnah terhadap anggotanya selain meningkatkan kecekapan dalam tugas. Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pelaksanaan itu sekaligus dapat mengelakkan berlakunya penyelewengan dalam tugasan yang dilaksanakan.

“Bukan sahaja ‘body cam’ (kamera badan) tetapi peralatan lain seperti pistol perenjat elektrik (taser gun) untuk kes-kes mententeramkan orang mengamuk juga diperlukan kerana ia terbukti dapat memudahkan polis menangkap orang sebegini.

“Selain itu, kita juga akan kemukakan kepada pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) beberapa peralatan yang diperlukan dalam modern policing,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat berek polis Bahagian Briged Tengah, Pasukan Gerakan Am (PGA) di Cheras. Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan), Kementerian Dalam Negeri, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan dan Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah, Datuk Dr Anis Yusal Yusoff.

Abdul Hamid berkata, beliau memang mengalukan berita baik itu kerana pihaknya banyak membuat permohonan untuk menaik taraf peralatan diperlukan. Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari itu juga berkata, pegawai dan anggota penguatkuasa seperti polis, kastam dan imigresen akan menggunakan kamera badan.

Menurutnya, penggunaan alat itu nanti bertujuan meningkatkan lagi integriti, kecekapan dan ketelusan pihak berkuasa terbabit apabila berurusan dengan orang ramai.

Sumber: Harian Metro