Baru-baru ini, pawagam baru di negeri Terengganu, Lotus Five Star Cinemas (LFS) Kuala Terengganu, beroperasi di Paya Bunga (PB) Square telah melaksanakan zon pengasingan tempat duduk bagi lelaki, wanita dan keluarga.

Pengurus LFS Kuala Terengganu, Mohd Zulmajdi Razali, menjelaskan pelaksanaan peraturan baru itu dikuatkuasakan mengikut Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu.

Menurutnya, pihaknya menerima arahan daripada pihak berkuasa tempatan(PBT) untuk memperkenal dan melaksanakan peraturan baru itu kepada semua pelanggan mereka.

“Pelaksanaan peraturan baharu ini akan dikuatkuasakan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bagi memastikan aktiviti-aktiviti yang dijalankan mengikut syariat Islam atau patuh syariah,” ujarnya.

Pihak pengurusan LFS bertanggungjawab melakukan pengasingan lelaki dan wanita bukan mahram serta membuat pemantauan di dalam panggung wayang jika berlaku keadaan atau situasi mencurigakan.

“Bagi panggung wayang yang keluasannya agak kecil, mereka yang berkeluarga boleh memilih untuk duduk di mana-mana tempat duduk yang disediakan manakala bagi dewan yang agak luas, kita telah bahagikan tempat duduk bahagian tengah panggung wayang untuk pasangan berkeluarga namun bergantung kepada keadaan semasa di mana terdapat juga pengunjung lelaki atau wanita ditempatkan di tempat duduk bahagian tengah sekiranya keadaan memerlukan asalkan menjaga batasan antara satu sama lain,” jelasnya.

Buat sementara waktu, sebarang tempahan tiket hanya boleh dilakukan secara manual di kaunter tiket panggung wayang berikutan tempahan secara dalam talian ditutup buat masa ini berikutan pelaksanaan peraturan baru.

“Ini termasuk juga perancangan untuk membuka kiosk bagi pelanggan membuat tempahan tiket sendiri. Kiosk itu juga ditutup buat masa ini,” katanya.

Difahamkan, peraturan itu tertakluk kepada semua pelanggan termasuk bukan Islam.

“Ini adalah peraturan baru dan boleh dikatakan LFS Kuala Terengganu adalah panggung wayang pertama yang melaksanakan peraturan ini di Malaysia. Setahu saya, belum ada lagi panggung wayang lain yang menguatkuasakan zon pengasingan sebegini,” tambahnya.

“Jadi, kita di peringkat pengurusan pun masih baru dengan peraturan ini dan bersedia untuk memperbaiki sebarang kelemahan bagi memastikan kepuasan pengunjung yang datang,” sambungnya lagi.

Sumber: Sinar Harian, FB LFS Cinemas