Semalam, penceramah terkenal, Ustaz Azhar Idrus atau lebih dikenali sebagai UAI, patah tangan kiri dan hidung selepas terjatuh basikal semasa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jalan Pusara, Terengganu, pada pukul 6.30 petang kelmarin selepas menyertai kayuhan santai di sekitar Kuala Terengganu.

Difahamkan, UAI selesai menjalani pembedahan tangan kiri kira-kira 10 malam tadi sejak ia bermula pukul 4 petang. Pembedahan itu diketuai doktor pakar tulang di Hospital Sultanah Nur Zahirah(HSNZ).

Pembantu khas UAI, Wan Safari Wan Ahmad, menjelaskan bahawa UAI sepatutnya menjalani pembedahan itu pada 12 tengah hari tetapi terpaksa ditangguhkan disebabkan masalah teknikal.

“Bagaimanapun, sebaik sahaja masalah itu selesai, UAI terus dibawa ke dewan pembedahan pada 4 petang. Pembedahan itu mengambil masa selama enam jam dan proses pembedahan berjalan dengan lancar dan selamat,” ujarnya.

Menurutnya, dia bersyukur kerana proses pembedahan berjalan lancar biarpun memakan masa yang agak panjang daripada tempoh jangkaan.

“Alhamdulillah, UAI selamat menjalani pembedahan itu tetapi beliau tidak mampu bercakap seperti biasa kerana kesan kecederaan di bibirnya,” jelasnya.

“Difahamkan, dia menerima lebih lapan jahitan pada bibirnya akibat kemalangan itu dan diharap ia pulih dalam tempoh terdekat,” katanya.

Selain itu, pihaknya terpaksa merahsiakan wad UAI oleh kerana terlalu ramai yang ingin melawat UAI selepas kemalangan tersebut.

“Dua sukarelawan juga ditempatkan di HSNZ bagi memastikan privasi UAI tidak terganggu sepanjang dirawat di HSNZ,” tambahnya.

Pihak mereka tidak boleh menjangka dan menghalang kehadiran pelawat di HSNZ, namun untuk langkah berjaga-jaga mereka terpaksa menempatkan petugas-petugas berkenaan.

“Kami harapkan doa yang baik-baik daripada semua penggemar dan pengikut ceramah UAI serta orang ramai supaya beliau cepat sembuh,” sambungnya lagi.

Sumber: Harian Metro