Firdaus Hanif, 43 tahun, seorang pengarah filem, dikhuatiri lemas pada Sabtu(semalam) ketika memancing di Sungai Jelai dekat Jambatan Gemunchur Mela, Lipis, Pahang sekitar pukul 1 tengah hari.

Dua jam yang lalu, pasukan mencari dan menyelamat(SAR) telah menemui mayat allahyarham Pitt Hanif, yang juga merupakan anak kepada pelakon Fauziah Nawi.

Menurut Fauziah di akaun Facebook miliknya, dia baru sahaja dimaklumkan mengenai penemuan itu oleh adiknya yang berada di lokasi.

“Saya Hajjah Fauziah Haji Nawi ingin mengumumkan bahawa jenazah anak saya Mohd Firdaus Haji Mohamad Hanif ataupun dikenali sebagai Pit Hanif telah pun ditemui dalam keadaan yang sangat elok,” ujarnya semasa membuat rakaman video live di laman sosial tersebut.

Dalam keadaan sebak, seniwati itu berterima kasih kepada semua pihak yang tidak putus-putus mendoakan allahyarham anaknya sepanjang kehilangannya.

Takziah diucapkan buat keluarga Fauziah Nawi. Semoga allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Al-Fatihah.

Sumber: Astro Awani