Siapa sangka, pasangan warga emas ini bertemu jodoh di Pusat Pendidikan Al Barakah, Ipoh, Perak, semasa mereka mengikuti kelas pengajian agama di sana.

Malah, pengasas dan pengetua pusat pendidikan itu, Datuk Mohd Kazim Elias, menjadi orang ‘tengah’ dalam penyatuan pasangan tersebut.

utusan.com.my

Pasangan berkenaan, Hussain Abdul Rahman, 84 tahun, dan Kamsiah Adam, 66 tahun, selamat dinikahkan di surau Al Barakah oleh adik Kamsiah iaitu Hamzah Adam dengan disaksikan Timbalan Pendaftar Ipoh, Mohd Azarudin Mohamad Saarani, pada Ahad lalu.

Menurut Hussain, dia berterima kasih kepada cadangan Ustaz Kazim kerana selalu melihat dia keseorangan sejak mengikuti kelas agama tiga bulan lepas.

utusan.com.my

“Ini perkahwinan saya yang ketiga dan saya berharap ia akan kekal sehingga akhir hayat. Saya berkahwin kerana mahu menjalankan amal ibadat dengan lebih tenang di sini apabila ada insan yang sudi menjaga saya,” kata bapa kepada tujuh anak serta 17 cucu itu.

Manakala, Kamsiah yang mempunyai tiga orang anak dan empat cucu itu mengambil keputusan untuk berkahwin dengan Hussain adalah kerana peribadinya yang taat mengamalkan ajaran agama selain mahu menjaganya yang sakit lutut.

“Kami merancang untuk terus tinggal di sini dan mendalami ilmu agama dan menjalankan ibadah bersama-sama sehingga akhir hayat,” jelasnya.

Sementara itu, Ustaz Kazim berkata dia bersyukur dapat menyatukan pasangan emas tersebut kerana dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara dua keluarga.

Sumber: mStar