Tak dinafikan majlis perkahwinan menelan belanja yang agak tinggi lebih-lebih lagi jika anda tinggal di bandar.

Walaupun begitu, kini lebih ramai pasangan yang mahu berkahwin memilih untuk mengadakan majlis perkahwinan secara sederhana tetapi meriah dengan para tetamu yang hadir.

twitter.com

Unik dan ringkas, sepasang suami isteri dikenali sebagai Mohd Hafiszi Ngadmin, 33, dan pasangannya, Nornadiya Arjudin, 30 yang baru saja mendirikan rumahtangga ini memilih untuk mengadakan majlis perkahwinan di lorong gelap atau di celah bangunan.

Berasal dari Kulai, Johor, pasangan pengantin ini mempunyai alasan tersendiri mengapa mereka memilih lokasi berkenaan untuk majlis perkahwinan mereka.

“Sebenarnya kami nak sewa villa atau homestay, tapi pemilik tak benarkan kami langsungkan majlis kahwin di situ. Isteri saya pula tinggal di pangsapuri. Jadi agak susah untuk buat majlis melibatkan tetamu yang ramai,” katanya yang memilih celah bangunan untuk mengadakan majlis yang juga bersebelahan lokasi kafe adiknya.

Difahamkan, Hafiszi membelanjakan sebanyak RM10,000 untuk majlis perkahwinannya dan disambut meriah dengan jemputan 300 orang tetamu pada malam sabtu lepas.

twitter.com

“Sebenarnya majlis macam ni lebih santai. Dalam ruang yang tak begitu besar, senang kami nak beramah mesra dengan semua tetamu,” tambahnya lagi.

Gambar perkahwinan Hafiszi tular di laman sosial selepas rakannya, Sheikh Obaid memuatnaik gambar-gambar perkahwinannya di laman sosial Twitter hingga mendapat 7,300 Retweets dan 4,100 Likes.

Sumber: mStar