Tarikh 20 Julai 2018 amat bermakna bagi seorang bekas maknyah, Harry Zulkifli, 26 tahun, apabila dia dipertemukan semula dengan bapa kandungnya, Zulkifli Harun, yang terpisah kira-kira 25 tahun lalu.
“Susah saya nak cakap, perasaan bercampur-baur… gementar, sayu dan gembira, semua ada. Namun saya bersyukur kerana doa saya akhirnya dimakbulkan Allah,” ujar Harry.
Menurutnya, detik pertemuan bermakna itu bertempat di tempat parkir sebuah pusat membeli belah di Larkin, Johor Bahru.
Sebelum itu, dia menghubungi ibu tirinya sebelum akhirnya dapat bercakap bersama ayah kandung yang dicari setelah sekian lama.
“Mula-mula agak janggal apabila dia bahasakan diri dengan panggilan ayah. Namun itu adalah panggilan yang saya nantikan sejak 25 tahun lalu. Alhamdulillah, dengan takdir Allah saya dapat menatap wajah bapa kandung,” katanya.
“Air mata saya tidak berhenti mengalir ketika bapa datang memeluk saya. Bapa banyak kali minta maaf tapi saya cakap itu bukan salah dia,” ujarnya.
Tambahnya, dulu dia pernah mencari ayahnya semasa baru berhijrah ke Kuala Lumpur selepas mendapat tawaran kerja dalam sektor kerajaan selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tetapi tidak berjaya.
Walau bagaimanapun, dia tidak berputus asa dan bersemangat mencari ayahnya kira-kira setahun setengah yang lalu.
Sebelum ini, Harry pernah tular di media sosial selepas niatnya mahu berhijrah ke jalan yang benar dan mendapat sokongan orang ramai.
Sumber: mStar