Kita masih lagi dalam mood hari raya dan setiap aktiviti dilakukan dalam suasana hari raya seperti jamuan makan di tempat kerja, rumah terbuka dan kali ini ia agak unik iaitu memancing dengan berbaju Melayu.

Salah seorang admin Perlis Caster, Paisol Saaban, 38 tahun, memberitahu mereka telah menganjurkan Komplot Silaturahim Aidilfitri di Empangan Timah Tasoh, Perlis, bertemakan baju Melayu.

Gambar sekadar hiasan

Walaupun sibuk beraya rumah sanak saudara, tetapi aktiviti tersebut mendapat sambutan daripada ahli-ahli Perlis Caster serta mereka yang turut berkongsi hobi yang sama dari Terengganu dan Pulau Pinang.

“Memandangkan kehangatan Aidilfitri masih terasa, jadi kita adakan sekali rumah terbuka Perlis Caster,” ujarnya.

Menurutnya, mereka boleh nikmati kuih raya dan juadah raya serta bermaaf-maafan sesama mereka sambil memancing.

“Alhamdulillah, satu kenangan yang sangat manis buat kami semua, apatah lagi semua peserta turut memakai pakaian mengikut tema, iaitu berbaju Melayu dan bersongkok,” tambahnya sambil memberitahu tujuan aktiviti itu diadakan adalah untuk merapatkan hubungan sesama rakan memancing.

Sumber: mStar