Sejak awal bulan ini, kerajaan mewajibkan pemakaian penutup muka (face mask) di tempat awam dan tempat sesak dalam negara ini. Saman berjumlah RM1,000 akan dikenakan jika anda didapati tidak memakai penutup muka dengan betul.

Walau bagaimanapun, masih ada golongan yang kurang berkemampuan untuk membeli penutup muka hinggakan ada yang sanggup mencari penutup muka terpakai dalam timbunan sampah sarap.

Seorang pengguna laman sosial Twitter, @khalids, berkongsi sebuah gambar menunjukkan seorang lelaki berusia sedang mencari sesuatu dipercayai penutup muka yang dibuang ke dalam timbunan sampah di Pasar Besar Ampangan, Seremban, Negeri Sembilan.

Difahamkan, lelaki tersebut berasa risau disaman jika dia tidak memakai penutup muka.

Perkongsian berkenaan mendapat lebih 8,900 retweet dan 10,300 likes di laman sosial tersebut. Malah, ramai yang meluahkan rasa kasihan dan sedih melihat pakcik itu di sebalik timbunan sampah.

Kebanyakan warga laman sosial tidak menyangka bahawa ramai lagi di luar sana yang tidak mampu untuk membeli penutup muka. Ada juga yang berharap mereka dapat menolong golongan seperti ini.

Sumber: Twitter @khalids