Jika anda mahu menonton wayang di negeri terengganu, anda patut tahu bahawa wanita Islam yang berpakaian menjolok mata selain pasangan yang melakukan perbuatan tidak sopan semasa menonton wayang di negeri tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah, menjelaskan bahawa pengusaha panggung wayang juga akan berdepan tindakan ditamatkan lesen hiburan serta-merta jika gagal mematuhi garis panduan syariah ditetapkan.

Walau bagaimanapun, kerajaan negeri tidak akan melaksanakan undang-undang itu secara drastik, malah akan mempertingkatkan kempen kesedaran dan pendidikan kepada mereka yang didapati melakukan kesalahan-kesalahan berkenaan.

“Buat masa ini, kita hanya beri amaran, namun kita tidak teragak-agak melaksanakan tindakan undang-undang yang terkandung dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 bagi mengekang gejala tidak bermoral berlaku di negeri ini,” ujarnya.

“Pasangan Islam yang didapati berkelakuan tidak sopan di tempat awam terutama dalam panggung wayang boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 34 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang memperuntukkan hukuman denda RM1,000 dan penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” jelasnya.

“Selain itu, wanita Islam yang didapati mendedahkan tubuh di tempat awam pula boleh didakwa mengikut Seksyen 35 enakmen sama yang memperuntukkan hukuman denda sebanyak RM1,000 dan penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya lagi.

Sumber: Harian Metro