Pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew, mengucapkan takziah terhadap ahli keluarga Ishak Darus, 77 tahun, atau lebih dikenali sebagai Pak Ishak atau Pak Aq selepas allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada pukul 8.30 pagi tadi di rumah mereka Lorong Fajar, Taman Uda, Jalan Sultanah, Kedah.

Menurut Harian Metro, sejak beberapa hari lalu allahyarham yang menghidap angin ahmar tidak berselera makan selain tidur sepanjang hari sejak berpindah ke rumah baru itu.

Sebelum ini, Ebit Lew membantu keluarga Pak Aq berpindah dari rumah mereka yang serba kekurangan ke rumah baru yang lebih selesa untuk didiami dan kisah tersebut mendapat perhatian warga laman sosial.

“Sayu hati rasa. Innalillahi wa inna ilaihi rajiun. Baru dapat berita Pak Aq Kedah meninggal dunia pagi ini. Banyak perkara sempat kami kongsikan bersama. Keinginan, hajatnya, dan doanya masa awal PKP hari tu,” ujarnya.

“Ingin menyediakan tempat tinggal buat isteri dan anak cucunya yang baik dan selesa. Ingin hantar cucu ke tahfiz dan sekolah yang baik. Sayu masa dapat angkat Pak Aq bawa ke ambulans masa tu. Sempat pindah ke rumah baru. Saya cakap padanya mungkin esok lusa kita dah tiada. Baki hidup ini kita siapkan bekalan dengan mendidik anak cucu dengan Islam dan kebaikan,” jelasnya.

“Pak Aq waktu sekejap kami bersama Pak Aq menjadi pelajaran kehidupan buat saya dan team. Terima kaseh penduduk setempat dan ajk masjid, jkkk, dan semua yang membantu menguruskan pengkebumian Pak Aq hari ini. Allah sayang semua,” katanya.

“Pak Aq orang baik. Semoga segala ujian dan kesusahan yang Pak Aq lalui menjadi asbab syurga untuk Pak Aq. Allah sayang Pak Aq. Semoga Allah ampuni dan cucuri rahmat ke atas jenazah beliau. Allah jagakan keluarganya,” sambungnya.

Sumber: FB Ebit Lew & Harian Metro