Seluruh penganut agama Kristian bakal menyambut perayaan Hari Natal atau Hari Krismas pada hari esok.

Persoalan yang sering dibangkitkan apabila tibanya Hari Krismas ialah adakah umat Islam boleh mengucapkan “Merry Christmas” kepada penganut agama Kristian atau tidak?

Ini kerana ramai di antara kita takut untuk mengucapkannya disebabkan takut ia mempunyai maksud lain yang tidak diketahui.

Jika ada yang masih keliru, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, tampil menjelaskan isu tersebut
menerusi laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan tahun lalu.

“Apabila isu ini masih berulang lagi saban tahun, kami terpanggil untuk menekuni semula isu ini dan membuat sedikit kajian ilmiah,” tulisnya.

“Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah penganut Kristian di Malaysia adalah ketiga terbesar di Malaysia iaitu mencapai 9.2% daripada keseluruhan rakyat Malaysia,” ujarnya.

“Melihat kepada hal ini, keberadaan dan hak mereka untuk hidup bersama-sama sebagai sebahagian daripada rakyat Malaysia perlu diraikan dengan sewajarnya,” jelasnya.

Tambahnya, selepas melihat dua pandangan dan juga situasi semasa di Malaysia, mereka berpendapat ucapan “Merry Christmas” kepada penganut Kristian dan seumpamanya adalah diharuskan dengan syarat-syarat dan garis panduan yang khusus.

“Penyertaan orang Islam dalam majlis sambutan Krismas hanyalah pada kadar yang diperlukan sahaja seperti jamuan makan atau bergambar,” katanya.

Dibolehkan untuk menerima atau memberi hadiah kerana Rasulullah SAW sendiri pernah menerima hadiah daripada Raja al-Muqawqis yang tidak beragama Islam,” sambungnya lagi.

Diharap kita dapat mengingati penjelasan Mufti Wilayah agar persoalan yang sama tidak berbangkit lagi pada tahun akan datang.

Sumber: Gempak