Pelakon berbakat besar, Noorkhiriah Ahmad Shapie atau lebih dikenali sebagai Noorkhiriah, 41 tahun, mewakafkan kenderaan pelbagai guna (MPV) miliknya sebagai van jenazah.

Menurutnya, kenderaan itu akan dihantar ke bengkel bagi kerja pengubahsuaian sebelum ia dapat digunakan secara percuma tidak lama lagi.

“Minta maaf, memang ada yang menelefon untuk bertanya mengenai hal ini. Rasanya cukuplah sekadar perkongsian yang dibuat di IG (Instagram) sahaja. Tidak mengapalah, saya segan,” ujarnya sambil memohon maaf kerana takut niatnya dipandang serong, lapor Berita Harian.

“Sebenarnya, saya segan untuk berkongsi di IG tetapi kerana ingin menghebahkan mengenai perkhidmatan percuma yang ditawarkan, saya umumkan juga,” jelasnya.

“Faham sahajalah pandangan orang, jadi saya takut,” tambahnya lagi.

“Alhamdulillah.. Lepaskan kerana Allah. Akak sayang maka akak jadikan kereta belakang ini sebagai van jenazah,” tulisnya di akaun laman IG miliknya.

IG nookhiriah

“Bagi yang memerlukan, dialu-alukan mendapatkan perkhidmatan percuma ini,” sambungnya.

“Insya-Allah sudah siap sepenuhnya nanti, akak beritahu. Terima kasih juga kepada yang menyumbang,” katanya.

Difahamkan, niat dia mewakafkan kenderaan itu kerana mahu meninggalkan sesuatu yang bermanfaat sebelum menutup mata buat selama-lamanya.

“Mohon doakan akak, bohong akak cakap kalau tak takut van jenazah. Akak tak kaya tapi sebelum meninggal dunia, akak nak tinggalkan sesuatu buat semua,” jelasnya.

Sumber: Berita Harian