Pastinya kedua ibu bapa kepada bayi comel, Ainul Mardhiah, lapan bulan, berasa bersyukur dan gembira apabila puteri kesayangan mereka itu berjaya menjalani pembedahan membuang tumor seberat 200 gram di mulutnya.

Dilihat ibu adik Ainul, Nurul Erwani Zaidi, 24 tahun, dapat berinteraksi dengan Ainul selepas dia sedar daripada pembedahan malam tadi.

Video yang dimuatnaik oleh bapa Ainul, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24 tahun, merakamkan pengalaman paling berharga buat mereka sekeluarga dan seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan kesihatan adik Ainul.

Detik indah anak-beranak itu dirakamkan dan disunting bersama muzik latar iaitu lagu daripada kumpulan UNIC, dengan tajuk lagu yang sama dengan nama bayi kesayangan ramai itu.

Selain itu, tidak kurang juga warga laman sosial mendoakan agar adik Ainul cepat sembuh dan bersyukur melihat perkembangan terbarunya.

Malah, ada juga yang mengalirkan airmata apabila melihat video tersebut kerana mereka dapat melihat kekuatan yang ada dalam diri adik Ainul.

Diharap adik Ainul segera sembuh dan sihat seperti kanak-kanak lain serta membesar dengan sempurna. You are a fighter!

Sumber: Astro Awani