Jarang kita dengar pelakon atau pengarah filem Malaysia menggunakan bahasa kebangsaan apabila ditemuramah oleh orang luar negara.

Namun, pelakon dan pengarah terkenal, Nam Ron, 49 tahun, menjawab pertanyaan dalam bahasa Melayu daripada moderator di New York Asian Film Festival (NYAFF) selepas tayangan filem One Two Jaga: Crossroads, di sana.

Menurutnya, ini bukan kali pertama dia bertutur bahasa Melayu di sesi aspresiasi filem dan teater dalam festival luar negara.

“Sebenarnya saya mahu mengulas dalam bahasa Melayu sepenuhnya dengan menggunakan khidmat penterjemah tetapi diselang-selikan dengan bahasa Inggeris kerana merasakan terjemahan yang dibuat oleh penterjemah ada yang tidak benar-benar memberi maksud kepada ulasan saya,” jelasnya.

Difahamkan, filem One Two Jaga arahannya sudah mencipta beberapa kejayaan antaranya dipilih sebagai filem pembukaan (opening film) di 20th Udine Far East Film Festival, Itali dan bakal ditayangkan di Malaysia tidak lama lagi.

Untuk pengetahuan anda, filem ini dilakonkan oleh Zahiril Adzim, Rosdeen Suboh, Amerul Affendi, Iedil Putra, Chew Kin Wah serta bintang Indonesia, Ario Bayu serta Asmara Abigail.

Sumber: Astro Gempak