Seorang nenek yang tidak mahir teknologi maklumat nekad menulis surat permohonan rentas negeri dengan tulisan tangan, baru-baru ini.

Haseni Hassan, 63 tahun, menulis surat permohonan itu kepada polis untuk bertemu anak tunggal perempuannya di Butterworth, Pulau Pinang, selepas kematian suami pada awal April lalu.

Difahamkan, permohonan Haseni mendapat kelulusan Ketua Polis Daerah Kota Setar sebelum bertolak menggunakan perkhidmatan komuter dari Alor Setar ke Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad(KTM) Butterworth, untuk bertemu anaknya, hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, memuji tindakan warga emas itu kerana patuh kepada arahan yang digariskan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat(PKPB).

“Wanita itu menulis sendiri surat permohonan untuk pergerakan rentas negeri sebelum mendapat pengesahan Ketua Polis Daerah Kota Setar,” ujarnya.

“Tindakan wanita itu menunjukkan kesungguhannya untuk mematuhi arahan walaupun sudah berusia,” jelasnya.

Semoga Haseni dan anak perempuannya dapat bertemu dan lega kerana sudah lama terpisah sejak PKP dilaksanakan.

Sumber: Harian Metro