Semalam, seorang nelayan dijatuhi hukuman penjara 202 tahun bersama 23 sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak, terhadap 22 pertuduhan merogol, mencabul dan mengambil gambar bogel anak tirinya yang berusia 15 tahun sejak April tahun 2016.

Walau bagaimanapun, tertuduh perlu menjalani hukuman penjara 38 tahun selepas Hakim Datuk Julie Lack Abdullah, memerintahkan beberapa hukuman penjara dijalankan serentak daripada tarikh dia ditangkap.

Dia dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana melakukan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengambil gambar anak tirinya semasa dia memakai pakaian.

Selain itu, dia turut dituduh 14 pertuduhan lain iaitu melakukan persetubuhan serta hubungan seks tanpa kerelaan anak tirinya itu serta dua pertuduhan mencabul kehormatan remaja berkenaan.

Semua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan, 376B(1) Kanun Keseksaan, 377CA Kanun Keseksaan, Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Difahamkan, kesemua kesalahan itu didakwa dilakukannya di rumah di Sitiawan, Manjung antara April 2016 hingga 29 September lalu.

Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap 16 daripada 22 pertuduhan terhadapnya ketika dituduh pertama kali pada 11 Oktober lalu.

Ketika kes disebut semula pada Selasa lepas, tertuduh mengubah pengakuan kepada mengaku bersalah terhadap kesemua 22 pertuduhan.

Sumber: Astro Awani