Seorang gadis berusia 27 tahun, Nuraishah Shamsuddin, lulusan Ijazah Sarjana dalam Sejarah Seni dan Pengurusan Budaya di Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Shah Alam, nekad meninggalkan kerjaya sebagai pereka grafik kira-kira tujuh bulan lalu untuk memulakan kehidupan yang lebih sederhana dan tenang di kampung halaman.

Dia yang berasal dari Teluk Intan, Perak, dan juga dikenali sebagai Aishah, sudah didedahkan dengan industri pertanian sejak kecil oleh arwah datuk dan arwah ayahnya.

“Saya ingat saya pernah mengikuti arwah datuk saya ke ladang buah dan ladang kelapa sawitnya pada waktu pagi serta ke kandang kambing arwah ayah saya pada waktu malam,” ujarnya kepada Bernama.

“Tetapi untuk sayur-sayuran, saya belajar melakukan sesuatu dengan perlahan dari YouTube, membaca dan melalui pengalaman saya yang lalui. Ini hobi saya,” jelasnya.

“Saya bosan dengan hiruk pikuk gaya hidup KL. Saya ingin membebaskan fikiran saya dengan memberi tumpuan kepada perkara-perkara yang penting,” tambahnya.

Kini, dia memiliki sebidang tanah seluas setengah ekar sekitar dua kilometer dari rumahnya di Teluk Intan.

“Saya mahukan kebun, jadi saya bermula dengan pokok buah-buahan,” sambungnya. Namun, dia memberanikan diri untuk menanam sayur-sayuran sementara menunggu pokok buah-buahannya tumbuh.

Setakat ini, Aishah berjaya menanam pelbagai jenis buah-buahan dan sayur-sayuran tempatan serta antarabangsa seperti avocado, mulberi, sayur kangkung, bayam, terung, salad dan ulam.

“Saya melakukan sebahagian besar kerja secara sendirian. Kadangkala saya mendapatkan sukarelawan untuk menolong di kebun saya, tetapi kebanyakannya rakan dan keluarga saya sendiri,” katanya.

“Saya berumur 27 tahun, saya tidak mempunyai hutang, saya memandu Perodua, saya tinggal dengan mak dan kucing saya, Copot, saya pergi ke kebun setiap pagi hingga tengah hari, dan saya menjual sayur organik untuk hidup,” tambahnya.

“Saya tidak pernah merasakan kebebasan seperti ini dalam hidup saya. Tiada deadlines, tidak perlu menjaga hati sesiapa. Saya bersyukur kerana mempunyai sebidang tanah untuk melakukan perkara yang paling saya gemari iaitu berkebun,” jelasnya.

Sumber: Twitter Aishah & SAYS