Pelakon dan pengacara popular, Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, 30 tahun, berasa insaf apabila hujan lebat dan angin kencang turun ketika umat Islam sedang melaksanakan wukuf di Padang Arafah, minggu lepas.

Menurutnya, pengalaman luar biasa itu berlaku kira-kira pukul 2.38 petang dan dia berada di luar khemah bersama ibunya.

“Semalam semasa wukuf saya berada di luar khemah dan baru mula berdoa dalam satu jam. Ketika itu masih panas dan ramai jemaah masih di dalam khemah. Kemudian angin kuat dan berpasir pelik sebab tak sangka hari wukuf jadi berangin dan sejuk,” ujarnya.

“Kemudian hujan mula turun. Saya dan mak sahaja berada di luar khemah. Sheikh dan kebanyakan jemaah lain masih di dalam dan tiba-tiba dia berhenti dan semua jemaah keluar khemah sebab terkejut hujan turun ketika wukuf,” jelasnya.

“Perasaan semasa hujan turun ni hanya Allah yang tahu. Tergamam, tak terkata,” katanya.

Difahamkan, Neelofa menceritakan pengalaman berharga dilaluinya itu menerusi video Instastory di laman Instagram.

Menurutnya, sebaik hujan turun, semua umat Islam yang berada di dalam khemah keluar khemah dan berdoa kepada Allah.

“Sheikh bacakan doa. Pertama kali dengar doa yang dibaca dengan sangat panjang, tanpa henti hampir satu jam. Masa ni payung (di luar khemah untuk berteduh) dah tumbang sebab angin kuat, kami dah habis basah lencun,” sambungnya.

Selain itu, dia berharap perkongsian yang dilakukannya memberi manfaat kepada orang ramai dan membuatkan hati semua orang tidak sabar untuk melakukan ibadah haji.

Sumber: mStar