Pelakon, pengacara dan usahawan berjaya, Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, berasa syukur dapat berkongsi doa harian, tip fahami erti bacaan dalam solat serta perkara ilmiah mengenai agama sempena Ramadan kali ini dengan lebih 71,000 orang yang menyertai saluran Telegram miliknya.

Baru saja dilancarkan pada minggu lalu, Neelofa menyatakan saluran yang diuruskan sendiri itu diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua umat Islam.

“Saluran Telegram ini diwujudkan kerana sambutan Ramadan kali ini sangat istimewa berbanding sebelumnya,” ujarnya.

“Kali ini, kita menyambut Ramadan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) dan kebanyakan daripada kita tidak dibenarkan keluar daripada kediaman. Justeru, kita manfaatkan masa yang ada dengan perkara berfaedah,” jelasnya.

“Jika dahulu kita tidak sempat, sekarang Alhamdulillah. Ini antara keindahan Ramadan kali ini,” katanya.

Menurut, antara perkongsian lain menerusi saluran itu termasuklah cara memahami dan mengingati bacaan dalam solat, doa harian, ayat suci al-Quran serta video ceramah agama.

“Selama ini ramai yang bertanya kepada saya, apakah amalan doa harian dan surah apakah yang menjadi kegemaran. Saya cuba berkongsi di Instagram Stories, tetapi disebabkan limitasi durasi, perkongsian menjadi terbatas. Kalau terlalu banyak yang dikongsi, takut orang jemu dan tak baca (skip),” tambahnya.

“Jadi dengan saluran Telegram ini, saya lebih bebas untuk berkongsi apa sahaja yang bermanfaat, asalkan tidak meyimpang. Saya harap, perkongsian ini dapat dimanfaatkan pada keadaan sukar seperti sekarang,” sambungnya lagi.

Jika anda berminat untuk mengikuti saluran Telegram itu, anda hanya perlu mencari kata kunci Neelofa di ruangan carian.

Sumber: Harian Metro