Artis popular dan usahawan, Neelofa, mengambil keputusan untuk mendirikan sebuah pertubuhan kebajikan miliknya, Pertubuhan Kasih Neelofa, baru-baru ini.

Difahamkan, idea itu terhasil beberapa tahun lalu dan usahawan jenama Naelofar itu melihat Pertubuhan Kasih Neelofa sebagai platform terbaik untuk dia terlibat secara langsung dengan masyarakat.

“Sejujurnya, saya telah lama berhajat untuk membangunkan sebuah badan kebajikan demi membantu golongan yang memerlukan. Tapi, saya tidak mahu ia berjalan tanpa melibatkan saya secara keseluruhan. Saya mahu memberi fokus seratus peratus dan benar-benar mendalami masalah yang dihadapi oleh masyarakat,” ujarnya.

“Sebagai contoh, jika saya terlihat seseorang yang memerlukan bantuan di Twitter, saya akan cuba mendekati individu tersebut dan terus berhubung dengannya. Saya mahukan pendekatan seperti itu,” jelasnya.

Pertubuhan kebajikan itu merupakan pertubuhan peringkat kebangsaan yang akan diterajui bersama ibunya, ibu saudara serta Ustaz Azam.

Pertubuhan Kasih Neelofa merangkumi 3 teras utama iaitu Keagamaan, Kemasyarakatan dan Bantuan Untuk Golongan Kurang Bernasib Baik serta dibangunkan untuk membantu masyarakat dengan pemberian sumbangan secara konsisten serta menyeluruh.

“Teras Keagamaan meliputi apa sahaja aktiviti seperti program keilmuan dan program keagamaan. Sementara itu, untuk teras Kemasyarakatan, kami akan cuba mendekati komuniti dengan melaksanakan program-program bersama tenaga kerja Pertubuhan Kasih Neelofa dan para sukarelawan,” katanya.

“Bagi teras Bantuan Untuk Golongan Kurang Bernasib Baik pula, kami memfokuskan kepada mereka yang terpinggir dan kurang berkemampuan seperti asnaf, ibu tunggal dan anak yatim. Kami akan cuba mendekati golongan ini dengan lebih rapat, mendengar keluhan dan masalah mereka, dan kemudian cuba meringankan beban melalui bentuk sumbangan atau penganjuran aktiviti-aktiviti amal,” tambahnya.

Menurutnya, dia turut menubuhkan Syarikat Kasih Neelofa Resource, iaitu sebuah entiti yang berfungsi untuk menjana pendapatan untuk menggerakkan Pertubuhan Kasih Neelofa.

“Kasih Neelofa Resources merupakan sebuah platform yang boleh dijadikan sebagai medium untuk menjual pelbagai item untuk pengguna, dan keuntungan daripada hasil semua jualan akan disalurkan sepenuhnya ke dalam tabung pertubuhan,” sambungnya lagi.

“Selain itu, inisiatif ini juga dapat memberi galakan kepada mereka di luar sana yang berkemampuan untuk sama-sama  menyumbang dan membantu golongan yang memerlukan,” ujarnya.

Sumber: Gempak