Pelakon, pengacara serta usahawan terkenal, Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, 30 tahun, bakal menerbitkan bahan Islamik berbentuk audio visual iaitu terjemahan ayat suci al-Quran.

Menurutnya, perkara itu boleh membantu mereka yang ingin membaca al-Quran dan pada masa sama memahami terjemahan ayat al-Quran.

Difahamkan, dia sudah mempunyai contoh dan mendapat maklum balas baik daripada keluarga serta rakan yang terlebih dahulu melihatnya.

“Kalau buat carian di YouTube, tak ada video terjemahan dalam bentuk rakaman suara, semuanya bertulis. Jadi, bagi saya secara peribadi, susah kalau baca al-Quran dan pada masa sama nak baca tafsir lagi. Ia ambil masa. Kadang-kadang terlepas pandang maksud tertentu. Jadi, tak dapat sepenuh kefahaman,” jelasnya.

“Asalnya saya nak buat untuk diri sendiri dan sudah ada contoh pun. Tapi, apabila saya kongsikan contoh yang sudah dibuat dengan rakan dan keluarga, semua memberi maklum balas baik. Mereka minta saya buat lagi,” ujarnya.

Disebabkan itu, Neelofa terus berbincang dengan pasukan untuk membuat penerbitan audio visual terjemahan tersebut dengan lebih tersusun.

“Saya cakap dengan pasukan, nak buat perkara ini dengan lebih rapi iaitu buat rakaman di studio. Ada orang yang boleh perhatikan bacaan saya dan semak. Asalnya nak buat suara saja, tapi mereka cadangkan buat dengan visual sekali,” katanya.

“Mungkin akan buat dengan isi kandungan yang lebih tersusun supaya boleh kongsikan dengan stesen televisyen atau mana-mana aplikasi Islamik yang nak gunakan. Pendek kata, asalnya untuk kegunaan sendiri, tapi boleh diperluaskan kepada orang ramai,” tambahnya.

“Dari segi bacaan, mungkin nak beli hak cipta daripada qari Wahid Zafar manakala bacaan terjemahan saja menggunakan suara saya. Saya nak buat semua juzuk, tapi kita mulakan dengan surah pendek dulu. Fasa kedua, surah pilihan dan kami akan lengkapkan satu al-Quran,” sambungnya.

Sumber: Harian Metro