Jika anda terbabit dengan jenayah rasuah, gambar muka dan nama anda akan didedahkan kepada bukan saja di Malaysia, malah satu dunia melalui portal rasmi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tindakan yang dilakukan SPRM ini pastinya akan membuatkan orang ramai di luar sana “berfikir dua kali” sebelum melakukan jenayah tersebut apabila Pangkalan Data Pesalah Rasuah boleh dilayari sesiapa sahaja di portal rasmi SPRM.

Difahamkan, objektif utama inisiatif itu bertujuan untuk menunjukkan langkah-langkah pencegahan dan memberikan petunjuk yang jelas bahawa SPRM berperang habis-habisan menentang rasuah.

“Pangkalan data ini berkhidmat sebagai alat kesedaran yang penting bagi membantu orang awam dan organisasi dalam melaksanakan proses penyelidikan dan penilaian sebelum mengambil, melantik atau menaikkan pangkat pekerja mereka,” ujar jurucakap SPRM.

“Pangkalan data ini juga memainkan peranan sebagai alat pengajaran bagi mencegah orang lain daripada melakukan perbuatan rasuah selain bertindak sebagai faktor yang memberi keinsafan terhadap mereka yang disabitkan dengan kesalahan rasuah,” jelasnya.

“Ini kerana maklumat mengenai mereka dan kesalahan dilakukan akan dipaparkan dan boleh diakses oleh orang awam selama tempoh tiga tahun bermula dari tarikh ia mula dipaparkan di laman sesawang SPRM,” katanya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil, menjelaskan Pangkalan Data Pesalah Rasuah itu boleh digunakan oleh orang ramai bagi menyemak latar belakang bakal pekerja, rakan kongsi atau sesiapa sahaja yang disyaki terbabit dengan jenayah.

Malah, gambar pesalah yang disabitkan bersalah oleh mahkamah akan dimasukkan ke dalam Pangkalan Data Pesalah Rasuah berkenaan.

Selain itu, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim, menjelaskan inisiatif SPRM menyediakan pangkalan data pesalah rasuah di laman sesawang SPRM itu sebagai langkah baik dan perlu diteruskan.

Pangkalan data itu beroperasi sebagai satu rujukan masyarakat dalam membantu orang awam dan organisasi dalam melaksanakan proses penyelidikan dan penilaian.

“Bagi MCW, kaedah ini menunjukkan sikap serius pihak SPRM dalam memastikan rasuah diperangi habis-habisan bagi memastikan Malaysia bebas dari rasuah,” ujarnya.

“Malah ia adalah pengajaran penting kepada setiap individu untuk menjauhi rasuah yang sekarang ini adalah musuh nombor 1 di Malaysia,” tambahnya lagi.

“MCW menggalakkan seluruh lapisan masyarakat untuk sentiasa masuk ke pautan itu bagi mendapat maklumat yang terkini demi memerangi rasuah di negara ini,” sambungnya.

Sumber: Harian Metro