Sepasang kanak-kanak menjadi tular apabila nama mereka menjadi topik hangat bagi warga laman sosial sejak beberapa hari ini.

Dokumen pengenalan diri milik Muhammad Dhury Yan yang lahir pada 21 Ogos 2012 dan adiknya, Nur Rambutt’an yang lahir pada 14 Mac 2017 menjadi bualan kerana nama mereka seakan-akan nama buah durian dan rambutan.

Menurut bapa kedua beradik itu, Abi Amin Mahayadin, 40 tahun, mengakui terkejut dan kesal dengan sikap pihak tidak bertanggungjawab yang telah menularkannya.

Berikutan nama kedua-dua anaknya tular, Amin menerima kecaman hebat daripada warga laman sosial tetapi tetap berfikiran positif kerana tindakan memberi nama kepada kedua beradik itu adalah keputusan keluarganya.

“Nama ni dapat dari orang-orang lama, depa orang baik-baik, ada pertalian keluarga juga, macam pangkat tok-tok, jadi kami ikut sahaja,” ujarnya.

Jelasnya, nama Dhury Yan dan Rambutt’an tiada kaitan dengan buah-buahan tempatan seperti yang diperkatakan oleh orang ramai.

Amin berharap masyarakat negara ini dapat menghormati keputusan keluarga mereka tanpa memberi persepsi yang dapat menjejaskan masa depan anak-anaknya.

Sumber: Sinar Harian