Bermula tahun depan, pihak Polis Diraja Malaysia(PDRM) akan memastikan setiap permohonan anggota baru perlu lulus ujian penilaian agama atau moral sebelum diterima menjadi anggota polis.

Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Abd Rahim Jaafar, menjelaskan bahawa ia bagi memastikan setiap anggota yang diambil mempunyai tahap integriti serta nilai moral dan agama yang tinggi.

“Aspek agama ditekankan bagi calon beragama Islam manakala pendidikan moral bagi calon bukan beragama Islam menerusi ujian secara atas talian dan temuduga,” jelasnya.

Gambar sekadar hiasan

“Kita perlu faham bahawa pendidikan agama penting, jika tiada ‘pendinding’ itu akan menyebabkan mereka-mereka ini terlibat dalam perkara-perkara yang tidak sepatutnya,” katanya.

Selain aspek agama dan moral, PDRM akan menjalankan ujian psikometrik yang bersesuaian bagi mengenal pasti sikap dan perilaku pemohon sebelum diterima menjadi anggota polis.

“Tugas anggota polis ialah menjaga keselamatan orang ramai, jika mereka terlibat dalam perkara yang tidak sepatutnya macam mana mereka nak laksanakan tugas dan tanggungjawab itu,” tambahnya.

Gambar sekadar hiasan

“Kita juga akan berkolaborasi bersama universiti untuk mencari kaedah dalam mengesan lebih awal calon-calon bagi anggota polis yang terlibat dalam masalah dadah kerana terdapat juga statistik mengatakan ada antara polis terlibat dengan dadah lebih awal sebelum menjadi anggota,” sambungnya.

“Ini antara kaedah yang akan kita laksanakan bagi memastikan anggota baharu yang diambil benar-benar menepati kriteria yang kita mahukan,” ujarnya lagi.

Sumber: Sinar Harian