Selepas menang dalam Pilihanraya Umum 14 (PRU14), Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, mahu bersuai kenal bersama pegawai-pegawai dulu sebelum melihat kes penyelewengan membabitkan pembelian aset dan pengoperasian Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menurut dakwaan di sosial media.

Menurutnya, dia baru memasuki hari kelima bertugas dan kebanyakannya dia mendengar taklimat daripada pegawai-pegawai mengenai perjalanan kementerian.

“Selepas ini, barulah kita pergi kepada perkara yang disebut dalam media. Saya mengambil pendekatan bahawa saya tidak akan bertindak berdasarkan ‘hearsay’…mesti oleh jawatankuasa,” ujarnya.

Selain itu, Mat Sabu menyatakan beberapa pembaharuan harus dibuat terutama mengenai peralatan ketenteraan agar kesiagaan anggota ATM berada pada tahap maksimum.

“Kita mahu supaya peralatan kelengkapan ketenteraan sama ada di peringkat persenjataan atau peralatan pengangkutan berada dalam keadaan terbaik supaya soal keselamatan negara menjadi keutamaan demi kesejahteraan rakyat,” jelasnya ketika berada di majlis berbuka puasa bersama anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang, semalam.

Sumber: Sinar Harian