Ayah merupakan satu figura penting dalam sebuah keluarga. Dialah yang mengerah tenaga untuk mencari rezeki demi isteri dan anak-anak. Sebuah keluarga terpaksa mengalami detik-detik sukar dalam hidup mereka kerana ketua keluarga mereka kini lumpuh selepas kemalangan jalan raya akibat pemandu mabuk.

Kisah itu dikongsi dalam rancangan televisyen popular, Majalah 3, pada Isnin lalu membuat penonton berasa sebak dan bersimpati terhadap nasib keluarga berkenaan.

Difahamkan, isteri kepada mangsa yang dikenali sebagai Kak Jah, terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga selepas kemalangan itu.

Bukan itu saja, anak-anak yang masih kecil juga turut bertungkus-lumus menolong si ibu menjaga ayah mereka di rumah selain menolong ibu mereka berniaga.

Kemalangan yang berlaku pada 19 Oktober tahun lalu berlaku semasa mangsa, Razali, dalam perjalanan menuju ke gerai nasi lemak miliknya dan berhenti di kaki lima untuk memeriksa tayat kereta sebelum dia dilanggar oleh sebuah kereta.

Berikutan itu, dia hilang keupayaan badan dan pergerakannya terbatas untuk bergerak aktif seperti dulu.

Disebabkan itu, keluarga Kak Jah ibarat hilang sebelah kaki kerana suami ditimpa ujian seberat ini menyebabkan pendapatan keluarga mereka terjejas.

Walau bagaimanapun, dia bersyukur mempunyai anak yang boleh menjaga ayah mereka sementara dia keluar mencari rezeki.

Lebih memilukan, anak sulungnya tidak dapat menahan sebak apabila ditemuramah oleh wartawan.

“Nak minta ayah sembuh. Abah satu-satunya ayah. Sedihlah bila ayah accident. Kalau solat tu minta doa ngan tuhan, supaya sembuh. Nak tengok ayah sembuh. Nak makan dengan dia, nak keluar dengan dia,” ujarnya sambil diperhatikan oleh ayahnya yang turut sama mengalirkan air mata mendengar luahan hati anaknya.

Semoga kita menjadi pemandu yang lebih bertanggungjawab dan berhati-hati semasa memandu. Bayangkan jika kita berada di tempat Kak Jah.

Sumber: Youtube TV3