Susulan berita penahanan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak pada tengahari tadi, dia dijangka akan didakwa lebih 10 pertuduhan pecah amanah berkaitan kes SRC International Sdn Bhd.

Menurut sumber mahkamah, Najib bakal dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah 2, Aras 4, Sayap kanan, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Kes berkenaan akan disebut di depan Hakim Mahkamah Sesyen paling kanan iaitu Datuk Zainal Abidin Kamarudin sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Jenayah 1 di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.

Dalam kenyataan Pasukan Petugas Khas 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Najib ditahan di rumahnya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur pada 2.35 petang berhubung siasatan SRC International Sdn Bhd dan bakal didakwa pada pagi esok.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, memberitahu penyiasatan SPRM pada tahun 2015 terhadap Najib melibatkan isu dana RM2.6 bilion dan RM42 juta yang juga dipercayai dipindahkan daripada SRC International Sdn Bhd ke dalam akaun bank peribadinya sendiri.

Sumber: Harian Metro