Pelawak dan pengacara terkenal Nabil Ahmad membuat permohonan maaf secara terbuka kerana keterlanjurannya mencampak tanjak yang dipakai ke atas lantai pentas Muzikal Lawak Superstar (MLS) jumaat lepas.

Nabil telah membuat permohonan maaf itu menerusi video pendek yang dimuat naik di akaun Instagramnya.

Menurut Nabil, dia sama sekali tidak berniat untuk memperlekehkan adat pemakaian busana Melayu.

“Assalamualaikum, saya Nabil Ahmad. Saya nak buat permohonan maaf secara terbuka di atas keterlanjuran saya malam tadi di atas pentas Muzikal Lawak Superstar.

“Tidak menjadi niat saya untuk memperlekehkan bangsa dan adat Melayu kita terutama sekali tanjak yang saya pakai dan saya telah ditegur secara baik oleh Tok Cindai dan seluruh ahli keluarga pengabdi budaya.

“Saya ingin memohon maaf dan memohon ampun kepada semua yang mana terguris hati dan perasaan atas keterlanjuran saya.

“Saya harap permohonan maaf saya ini dapat diterima oleh semua. Insya-Allah,” ujarnya menerusi video berkenaan.

Malah menerusi kapsyen video berkenaan juga, Nabil menyatakan rasa malu dengan tindakan yang dilakukannya itu.

“Asalamualaikum Tuan-Tuan sekalian, saya manusia yang banyak melakukan kekhilafan dan saya harap permohonan maaf saya ini dapat memberi pengajaran pada saya.

“Dan hal ini betul-betul memperingatkan saya pada maruah budaya khemahkotaan bangsa Melayu kita.

“Saya juga memohon maaf kepada seluruh ahli keluarga balai adat Tok Cindai dan semua yang terkesan dengan perbuatan saya.

“Saya personally amat malu dengan perbuatan saya malam tadi #maafkansaya,” tulisnya.

Perbuatan Nabil itu telah mendapat teguran dari Balai Adat Tok Cindai yang mewakili seluruh pengamal dan pendiri budaya bangsa.

Perlakuan Nabil yang dengan sengaja mencampak tanjak ke lantai membawa erti menjatuhkan maruah keseluruhan bangsa Melayu kerana tanjak adalah pemakaian yang paling teratas dalam adat Melayu.

Tok Cindai menerusi akaun Facebooknya juga menuntut Nabil untuk melakukan permohonan maaf secara terbuka di atas keterlanjurannya itu.

SumberAwani