Dalam tempoh Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh di negara ini yang akan bermula esok dan berakhir Mac tahun depan, empat hingga enam episod hujan lebat yang signifikan dijangka akan berlaku.

Gambar sekadar hiasan

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia(MetMalaysia), memaklumkan semasa fasa awal Monsun Timur Laut iaitu dari November sehingga Disember 2020, episod hujan lebat dijangka berlaku di negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Namun, episod hujan lebat dijangka lebih tertumpu di Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak mulai Januari 2021.

“Fasa kedua Monsun Timur Laut iaitu mulai hujung Januari 2021 seperti biasa dijangka cuaca agak kering di negeri-negeri di utara Semenanjung (Kedah, Pulau Pinang dan Perlis) dan Kelantan,” tulisnya.

Gambar sekadar hiasan

Difahamkan, hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan berkedudukan rendah dan kerap banjir.

Malah, risiko kejadian banjir boleh menjadi lebih buruk sekiranya hujan lebat berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar dan luruan ribut.

Selain itu, tiupan angin Timur Laut secara berterusan dan kencang boleh menyebabkan laut bergelora dan ombak besar di perairan Laut China Selatan.

Oleh itu, orang ramai dinasihatkan supaya bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh selain sentiasa peka dengan amaran hujan lebat serta angin kencang dan laut bergelora dikeluarkan melalui laman web, aplikasi ‘myCuaca’ dan laman media sosial atau menghubungi talian hotline 1-300-22-1638 untuk pertanyaan lanjut.

Sumber: Harian Metro