Sejak kebelakangan ni terdapat banyak resepi berasaskan durian dihasilkan. Ada yang sedap dan ada juga rasa agak pelik kerana tak semua gabungan bahan sesuai dengan durian.

Terbaru, menu makanan mengandungi durian adalah murtabak durian. Jika anda ingin mencuba murtabak durian, anda boleh ke Warung Murtabak Kulaan yang terletak di Kampung Parit 6 1/2 Timur, Sungai Besar, Sabak Bernam.

Pemilik Warung Murtabak Kulaan, Mohd. Asri Homdan, 50 tahun, memberitahu sebenarnya dia sudah lama mendapat idea murtabak durian itu apabila rakannya meminta dia membuat murtabak durian menggunakan durian yang diberikan oleh rakannya kira-kira 10 tahun lalu.

“Cara penyediaan martabak durian ini sama sahaja seperti martabak pisang atau nangka. Bezanya hanya pada isi martabak itu,” katanya.

Menurutnya, murtabak durian mendapat permintaan ramai hingga 30 keping terjual dalam masa sehari dan meningkat satu kali ganda pada hujung minggu.

“Saya menawarkan harga RM2 untuk sekeping martabak durian ini. Selain itu, saya juga menyediakan martabak pisang, nangka, ayam dan daging mengikut permintaan pelanggan,” tambahnya.

Difahamkan warung Asri beroperasi seawal pukul 7 pagi hingga 11 malam pada setiap hari dan dia juga ada menyediakan menu sarapan pagi yang lain seperti nasi lemak serta masakan panas dengan harga serendah RM3.50 sepinggan.

Sumber: Kosmo Online