Gara-gara mencuri durian di sebuah dusun di Kampung Berchat, Lubuk Gajah, Changkat Jering, Taiping, Perak, dua lelaki disumbat kulit durian ke dalam mulut oleh penduduk kampung sebelum mereka diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Difahamkan, kedua-dua pencuri itu ditangkap oleh pemilik kebun dan penduduk kampung pada awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat, menyatakan pemilik kebun berusia 69 tahun serta dua rakannya pergi ke kebun miliknya di kampung itu untuk mengutip buah durian pada pukul tiga pagi.

Sebaik tiba di situ, mereka ternampak kenderaan Toyota Hilux serta melihat kelibat dua lelaki mencuri durian di dusun itu sebelum ditangkap dengan bantuan penduduk kampung.

“Hasil siasatan, polis mendapati kedua-dua suspek berusia 28 dan 30 tahun mengambil kesempatan memasuki kebun penduduk pada sebelah seawal pagi dan mengutip durian yang luruh,” ujarnya.

“Pemeriksaan pada but kenderaan, menemui raga yang mengandungi 30 durian berharga kira-kira RM500, dipercayai dicuri dari kebun pemilik,” jelasnya.

Menurutnya, tangkapan bersama barangan kes dibawa ke Balai Polis Changkat Jering dan suspek direman selama tiga hari sehingga 16 Jun(esok).

“Polis juga menjalankan siasatan sama ada suspek mempunyai hubung kait dengan beberapa kes kecurian lain yang dilapor berlaku di sekitar Taiping,” katanya.

Berikutan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Sumber: Harian Metro