Pihak berkuasa agama Islam negeri menerima cadangan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf, agar mengeluarkan fatwa yang membenarkan zakat diberikan kepada golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender(LGBT) yang ingin dipulihkan.

Gambar sekadar hiasan

Menurutnya, zakat itu bukanlah disalurkan kepada individu yang terjerumus dengan LGBT, tetapi akan disalurkan melalui badan bukan kerajaan(NGO) yang terbabit dengan program pemulihan.

“Ramai orang silap faham, dia ingat kita bagi zakat dan mereka (LGBT) beratur panjang (ambil zakat). Kalau kata saya LGBT, saya boleh dapat zakat, bukan itu maksud dia,” ujarnya.

“Maksud kita, mesti ada usaha untuk bebaskan dia (golongan LGBT) daripada kita kata mereka menjadi hamba nafsu songsang ini,” katanya.

“Fatwa di Selangor sudah menyatakan bahawa salah satu daripada (penerima zakat) asnaf, (adalah) mereka yang menjadi hamba iaitu hamba kepada nafsu songsang mereka,” sambungnya.

Gambar sekadar hiasan

“Justeru, melalui NGO, apa saja program pemulihan bagi membebaskan mereka ini daripada menjadi nafsu songsang ini, (maka boleh) diberikan bantuan melalui (bantuan) asnaf,” jelasnya.

“Kalau undang-undang yang ada ketat tidak cukup, tanpa ada satu usaha membetulkan gaya hidup dan usaha dakwah membabitkan NGO, tanpa usaha membaiki (fungsi) mahkamah syariah itu sendiri. Semua itu masuk dalam pakej kita,” tambahnya.

Difahamkan, setakat ini hanya negeri Selangor sahaja yang mengeluarkan fatwa berkenaan dalam usahanya memulihkan golongan itu.

Contohnya, program Muhayyam Bersama Komuniti Disayangi yang dilaksana sejak 2011 dihadiri seramai 1,700 peserta terbabit, dengan sebahagian daripada mereka hadir secara sukarela untuk dipulihkan.

Kesimpulannya, daripada kita menghukum, ada baiknya jika kita membawa mereka kembali ke pangkal jalan dengan cara yang lebih berhemah.

Sumber: Harian Metro