Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Luqman Abdullah, menasihati umat Islam agar tidak terikut dalam cabaran-cabaran berbentuk pemujaan dan ritual demi menjaga akidah.

Untuk pengetahuan anda, hukum membuat ‘Lathi Challenge’ atau Cabaran Lathi adalah haram dan berdosa.

Difahamkan, ia mempunyai unsur-unsur pemujaan yang dikhuatiri akan menjerumuskan pelakunya ke dalam perbuatan syirik dan kekufuran.

“Setakat maklumat yang kami dapati, Cabaran Lathi ini pada mulanya dipopularkan oleh Jharna Bhagwani di aplikasi TikTok, kemudian ia tular di media sosial dan ramai menyahut cabaran itu,” ujarnya.

“Cabaran di mana pelaku akan mengenakan pakaian ala-ala tradisional nusantara (Jawa) dengan menari mengikut alunan lagu, lalu tiba-tiba menukar wajah dan pakaian mereka menyerupai hantu yang mengerikan,” jelasnya.

“Lathi diambil daripada bahasa Jawa Kuno yang membawa maksud lidah. Ia menjadi judul sebuah single dinyanyikan Weird Genius yang berduet bersama Sara Fajira,” katanya.

Dalam muzik video rasmi itu, terdapat elemen joget dan tarian yang berunsur ritual mistik.

Menurutnya, di dalam lirik lagu itu turut mempunyai bait-bait yang dikatakan mengandungi pemujaan roh dan menyeru makhluk halus.

Pihaknya menegaskan tindakan menularkan cabaran seperti itu tidak sepatutnya dilakukan, tambahan pula membabitkan perkara yang bertentangan dengan akidah Islam.

“Hal bersandarkan kepada hadis dari Jarir Ibn Abdillah, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Barangsiapa melakukan sunnah yang baik, lalu diikuti amalan itu, maka baginya pahala dan pahala orang yang mengikutinya, tidak berkurang daripada pahala mereka sedikitpun,” tambahnya.

“Barangsiapa yang melakukan perkara yang buruk, lalu diikuti amalan itu, maka baginya dosa dan dosa orang yang mengikutinya, tidak berkurang daripada dosa mereka sedikitpun. Hadis riwayat Muslim: 2675,” sambungnya lagi.

“Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Umar, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka mereka tergolong daripada golongan mereka. Hadis riwayat Abu Daud: 4031,” ujarnya.

Sumber: Harian Metro & Laman Web Rasmi Mufti WP