Semalam, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, mengulas mengenai isu ‘kedudukan kanak-kanak lelaki dalam saf ketika solat berjemaah’ di laman sosial.

Menurutnya, terdapat sebuah hadis Sahih Al-Bukhari yang menceritakan bagaimana Nabi Muhammad SAW menyusun saf kanak-kanak dengan mengarahkan Anas bin Malik RA berada bersama-sama kanak-kanak kecil dan kemudian Rasulullah SAW solat bersama mereka.

Tambahnya, menurut Imam Al-Khatib Al-Syarbini pula, kedudukan kanak-kanak di belakang makmum dewasa adalah apabila mereka semua datang pada waktu yang sama, dan sekiranya kanak-kanak hadir terlebih dahulu, tidak boleh ditarik mereka bagi memberi laluan kepada lelaki dewasa.

“Sesungguhnya kanak-kanak hanya diletakkan di belakang daripada lelaki dewasa sebagaimana kata Al-Azraie apabila saf lelaki tidak muat untuk mereka. Jika tidak, hendaklah disempurnakan. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/492),” tulisnya di akaun Facebook miliknya.

Difahamkan, dia menjawab persoalan sebuah surat yang tular di media sosial hasil tulisan seorang kanak-kanak bernama Nadzrul Zarfan Sharul Azry kepada pengerusi di sebuah surau yang mendakwa dirinya ‘dihalau’ ke saf belakang oleh jemaah dewasa walaupun dia sudah berada di saf hadapan.

Selain itu, Zulkifli turut memberi beberapa cadangan kepada ibu bapa dan pihak masjid seperti tidak membawa kanak-kanak yang teramat kecil dan sukar dijaga serta akan mengganggu jemaah ke masjid.

Gambar sekadar hiasan

“Jika kanak-kanak (yang masih kecil) tidak mengganggu namun dibimbangi oleh kedua ibu bapa akan keadaannya, maka boleh diletakkan di sebelah ibu bapanya. Saya syorkan dalam keadaan sebegini, ibu bapa untuk bersolat di tepi dinding (hujung saf) dan diletakkan anaknya itu di hujung sekali,” jelasnya.

Untuk pengetahuan anda, status Mufti Wilayah itu mendapat reaksi lebih 38,000 pengguna Facebook serta lebih 23,000 perkongsian sehingga kini.

Sumber: Astro Awani & FB Mufti Wilayah Persekutuan