Semalam, Kabinet telah meluluskan perkhidmatan Go-Jek dan berita itu disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, di laman Instagram.

Walau bagaimanapun, langkah kerajaan untuk memperkenalkan perkhidmatan teksi motosikal itu pula disifatkan sebagai tidak Islamik dan tidak sopan oleh segelintir pihak.

Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid, menjelaskan bahawa apabila lelaki dan perempuan yang bukan muhrim membonceng motosikal, ia boleh mengundang fitnah kepada mereka.

Menurutnya, bagi mengelakkan tuduhan fitnah berkenaan, adalah lebih elok jika perkhidmatan Go-Jek itu tidak dilakukan.

“Tak sesuai, lelaki dan perempuan bukan muhrim membonceng motosikal yang sama. Mungkin penunggangnya lelaki dan pemboncengnya perempuan atau sebaliknya. Apa ke halnya kena ada situasi begitu?” soalnya.

“Keadaan itu jelas tidak Islamik dan tak sopan. Naik motosikal berdua bukan muhrim, tak diharuskan,” ujarnya lagi.

Tamyes turut mencadangkan kerajaan mungkin boleh memikirkan langkah lain yang lebih baik untuk mengelakkan masalah ini.

Namun, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk memutuskan pelaksanaan Go-Jek berkenaan.

“Terpulang kepada pihak berkuasa, saya tidak ada fatwa tentang perkara ini,” sambungnya ringkas.

Sumber: Astro Awani & Sinar Harian