Pulau Pangkor bakal diisytiharkan sebagai Pulau Bebas Cukai(PBC) menjelang tahun depan dan difahamkan minuman keras tidak akan dibenarkan dijual di dalam kawasan pulau tersebut.

sinarharian.com.my

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, menjelaskan bahawa kerajaan negeri sudah berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk tidak membenarkan arak dijual secara bebas cukai di kawasan itu.

“Kerajaan Persekutuan setakat ini menyokong pandangan daripada kerajaan negeri bagi melaksanakan perkara itu (tidak menjual arak bebas cukai),” ujarnya.

Walau bagaimanapun, kerajaan negeri itu masih lagi mempertimbangkan sama ada membenarkan rokok bebas cukai dibenarkan dijual di pulau itu atau tidak.

Terdahulu, pengisytiharan Pulau Pangkor sebagai PBC membabitkan peruntukan keseluruhan RM486 juta menjadi antara projek berimpak tinggi akan dilaksanakan di Perak dalam Rancangan Malaysia Ke-12(RMK-12).

“Di samping itu, kita juga sedang serius berbincang dengan Majlis Perbandaran Manjung dengan beberapa pihak yang sudah lama berkecimpung dalam perniagaan bebas cukai untuk membuka premis mereka di Pulau Pangkor,” jelasnya.

“Kita berharap bermula awal tahun depan orang ramai sudah mula boleh membeli barangan bebas cukai di pulau berkenaan,” katanya.

Sumber: Harian Metro