Nik Aidi Azhar Che Seman, 40 tahun, atau lebih dikenali dengan gelaran “Ziana Zain nombor 2” nekad mengubah penampilannya yang tidak lagi berpakaian wanita, malah kini berjubah dan memakai serban serta kopiah.

“Saya berubah dengan kerelaan sendiri kerana rasa takut melihat ramai orang meninggal dunia setiap hari, tidak kira tua atau muda,” ujarnya.

“Keadaan itu buat saya terfikir bagaimana jika saya meninggal dunia satu hari nanti tanpa membawa apa-apa bekalan,” kata bekas mak nyah itu.

Gambar dirinya yang berubah penampilan itu mendapat perhatian warga laman sosial dan menerima respon positif selepas ia dimuatnaik oleh rakannya, Mohd Fauzi Yusoff, di laman Facebook pada 30 November lepas.

mediahiburan.my

Menurutnya yang kini menetap di Kuala Krai, Kelantan, dia mula mengubah penampilan sejak dua tahun lalu dan ia dilakukan tanpa dorongan atau paksaan daripada sesiapa.

“Niat nak berubah ini datang daripada hati saya sendiri kerana rasa takut dengan kematian memandangkan dulu (sebelum berubah), saya sering didatangi mimpi ngeri di dalam tidur antaranya meninggal dunia akibat dilanggar lori,” jelasnya.

“Selain itu, saya pernah bermimpi duduk di satu tempat dengan dikelilingi api, tetapi kini hidup saya lebih tenang tanpa ada gangguan sebegitu,” sambungnya.

mediahiburan.my

“Mungkin mimpi itu adalah peringatan daripada Allah SWT untuk berubah dan kalau boleh, saya tidak mahu sekerat jalan tetapi biarlah terus begini,” tambah anak bongsu daripada tujuh beradik itu.

Difahamkan, perubahannya tidak berlaku secara drastik, tetapi perlahan-lahan bermula dengan mengubah penampilan selain berusaha mendekatkan diri kepada Allah SWT menerusi solat dan mendalami agama Islam.

“Saya perlahan-lahan berubah dan baru-baru ini banyak ke masjid untuk solat. Kalau boleh, saya tidak mahu lagi tinggal solat kerana solat lima waktu itu penting,” katanya.

mediahiburan.my

“Kalau mati dan di akhirat nanti, solat yang akan ditanya dulu, jadi perkara itu membuatkan saya takut dan sentiasa beringat untuk insaf,” ujarnya lagi.

“Alhamdulillah, Allah SWT beri hidayah untuk berubah dan saya rasa lebih tenang, cuma karakter saya saja tidak boleh berubah kerana memang lembut seperti ini,” jelasnya.

“Biarlah apa orang nak kata kerana apa yang penting adalah niat saya untuk berubah dan terus berpakaian seperti lelaki,” sambungnya.

Selain itu, Nik Aidi bersyukur kerana perubahannya itu mendapat sokongan serta maklum balas positif keluarga terutama daripada ibu, Mok Tuan Maunah Tuan Nal, 87 tahun, dan juga ayahnya, Che Seman Cik Weil, 100 tahun.

Sumber: Harian Metro