Pada minggu lepas, Putrajaya, Shah Alam dan kawasan sekitar Lembah Klang dilanda ribut kuat hingga mengakibatkan ratusan pokok tumbang sehingga menghalang jalan raya. Difahamkan, ribut petir yang melanda adalah disebabkan oleh perubahan angin dari Timur Laut.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia(MetMalaysia), kejadian yang dikenali sebagai ‘Monsoon Break’ dijangka akan berkurangan bermula hari ini sehingga hujung minggu ini, namun dijangka kembali pada penghujung bulan Mac.

Pengarah Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip, memberitahu bahawa Malaysia beriklim tropika terdedah kepada ribut petir dan biasanya berlaku pada sebelah petang.

‘Monsoon Break’ ini biasanya berlaku tiga hingga empat hari. Dalam situasi yang berlaku sekarang, ia akan mula berkurangan pada hari ini. Mungkin petang ini akan ada tempat yang mengalami ribut petir yang kuat. Insya-Allah bermula hari ini, sampai ke hujung minggu,” ujarnya.

Gambar sekadar hiasan

“Mengikut carta cuaca terkini, dijangka tiada lagi ribut petir yang kuat pada sebelah petang seperti apa yang kita alami pada minggu lalu,” jelasnya.

Tambahnya, negeri yang akan terkesan ialah Johor, Perak serta Kedah, tetapi impaknya dijangka tidak seburuk seperti di Lembah Klang.

“Kawasan yang paling terkesan dengan ribut petir ini adalah di Lembah Klang. Sebagaimana yang berlaku di Putrajaya pada Sabtu dan Shah Alam pada Ahad lalu, ia adalah sesuatu yang biasa berlaku. Lebih-lebih lagi memasuki fasa peralihan monsun yang dijangka akan bermula penghujung Mac,” sambungnya.

Sumber: Astro Awani