Sejak kebelakangan ini, boleh dikatakan setiap hari kita berdepan dengan cuaca panas yang luar biasa dan jarang mengalami hujan.

Jabatan Meteorologi Malaysia(MetMalaysia), meramalkan fenomena cuaca panas yang melanda negara ini akan berlanjutan sehingga bulan depan.

Pengarah Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip, menjelaskan bahawa cuaca panas yang berlaku sejak hujung bulan lalu disebabkan kadar taburan hujan berkurangan dan litupan awan.

Menurutnya, kekurangan hujan dan litupan awan itu dipengaruhi tiupan monsun barat daya.

“Keadaan ini mengakibatkan suhu di kebanyakan tempat yang direkodkan antara 33 hingga 34 darjah celsius, bagaimanapun suhu berkenaan tidaklah begitu tinggi,” ujarnya.

“Cuaca panas ini dijangka berakhir pada pertengahan bulan depan apabila berakhirnya monsun barat daya dan kadar taburan hujan kembali normal,” jelasnya.

Tambahnya, kekurangan taburan hujan itu turut dipengaruhi oleh faktor kadar hujan lebih daripada biasa yang direkodkan pada bulan Jun dan Julai yang lepas.

Walau bagaimanapun, suhu panas itu hanya berlaku di Semenanjung Malaysia sahaja dan tidak berlaku di Sabah dan Sarawak.

Berikutan itu, orang ramai dinasihati supaya mengamalkan langkah pencegahan kendiri selain menghabiskan lebih banyak waktu di rumah.

“Biasanya bila suhu panas begini, masalah kualiti udara yang kurang boleh berlaku kerana tidak ada hujan,” sambungnya.

“Jadi elakkan daripada melakukan pembakaran terbuka. Kurangkan masa berada di luar rumah,” ujarnya lagi.

Sumber: Sinar Harian