Semalam, seramai lapan orang termasuk tiga pelancong asing diberi notis untuk hadir ke mahkamah selepas mereka didapati merokok di kawasan larangan iaitu di Lapangan Terbang Tawau, Sabah.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Tawau, Rahman Sampe, menjelaskan bahawa semua individu itu dikesan melakukan kesalahan itu semasa operasi khas Ops Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) ke-14 dilakukan dan berakhir pukul 10 malam tadi.

Menurutnya, pihaknya mengesan segelintir individu termasuk pelancong asing tidak mempedulikan papan tanda larangan merokok yang dipasang di beberapa lokasi strategik di lapangan terbang tersebut sepanjang operasi berlangsung selama dua hari.

“Sesiapa saja tanpa mengira sama ada pelancong asing atau tempatan perlu mematuhi larangan merokok di kawasan lapangan terbang seperti yang diwartakan mengikut PPKHT 2004,” ujarnya.

“Individu yang diberi notis ini perlu hadir di mahkamah bagi menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 32B atau membayar kompaun RM250 bagi setiap kesalahan,” jelasnya.

Selain itu, Rahman turut menyarankan agar ejen pelancongan membantu pihak berkuasa dengan memaklumkan larangan merokok di kawasan tertentu kepada pelanggan masing-masing.

Selain kawasan lapangan terbang, operasi sama akan diperluaskan ke premis kerajaan seperti hospital, perhentian bas termasuk dalam kenderaan pengangkutan awam, stadium dan kawasan lain yang sudah digazetkan sebagai kawasan larangan merokok.

“Bagi menguatkuasakan PPKHT 2004, orang ramai juga perlu membantu pihak berkuasa dengan membuat laporan berkaitan sebarang pelanggaran atau kesalahan merokok di kawasan larangan demi kesihatan bersama,” sambungnya.

Sumber: Harian Metro