Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, mengesahkan dia tidak lagi memegang jawatan Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Menurutnya, surat perletakan jawatan itu telah pun ditandatangani dan kini hanya menunggu pengumuman rasmi universiti berkenaan untuk pelepasan jawatan yang disandangnya bermula bulan September tahun lepas.

“Saya kini bukan lagi Presiden UIAM, surat perletakan jawatan pun telah saya tandatangani, cuma kini menunggu pengumuman dari UIAM termasuklah individu yang bakal menggantikan saya. Peletakan jawatan ini atas kerelaan saya dan demi kebaikan bersama,” jelasnya.

Tambahnya lagi, dia turut berharap semua pihak dapat memberi kerjasama sepenuhnya kepada individu yang bakal menggantikan tempatnya itu.

Maszlee enggan mengulas tarikh sah perletakan jawatannya itu, selain enggan mengulas lanjut berkenaan desas-desus individu yang bakal menggantikannya iaitu bekas Naib Canselor UIAM, Datuk Dr Mohd Daud Bakar.

Sumber: Astro Awani