Bantuan Sara Hidup(BSH) 2019 fasa pertama akan dibayar pada 28 Januari depan sebanyak RM300 bagi setiap isi rumah.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng, memberitahu bahawa atas keprihatinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bantuan itu dijangka akan memanfaatkan sehingga 4.1 juta isi rumah yang melibatkan peruntukan berjumlah RM1.2 bilion.

Difahamkan bayaran akan dimasukkan terus ke dalam akaun bank pemohon. Kerajaan terpaksa menggunakan pangkalan data dan kaedah lama bagi membolehkan bayaran dibuat segera sebelum Februari 2019 walaupun berkemungkinan besar mengandungi nama penerima yang tidak layak.

Gambar sekadar hiasan

Menurutnya, proses pemutihan bagi mengeluarkan nama penerima tidak layak yang bukan daripada golongan berpendapatan rendah (B40) memerlukan masa yang panjang untuk dilakukan.

Tambahnya, setelah pangkalan data dikemaskini, baki bayaran BSH yang akan disalurkan pada fasa kedua dan ketiga akan menggunakan kaedah baharu seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2019.

“Proses kemaskini data perlu dilaksanakan untuk pembayaran BSH 2019 fasa kedua dan ketiga selaras dengan penambahbaikan program BSH secara lebih bersasar dan bergantung kepada saiz isi rumah,” jelasnya.

Kriteria pembayaran dan kaedah baharu akan diumumkan dalam jangka masa yang terdekat.

Sumber: Astro Awani