Menteri di Jabatan Perdana Menteri(Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohammad Al-Bakri, menjelaskan SOP solat berjemaah sudah dipersembahkan kepada Yang Di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Majlis Raja-Raja selaku Ketua Agama Islam Persekutuan dan negeri untuk diperkenankan.

Difahamkan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia(JAKIM) sedang memperhalusi tatacara atau Prosedur Operasi Standard(SOP) mengenai solat berjemaah serta solat Jumaat di masjid sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat(PKPB) berlangsung.

Menurutnya, kerajaan akan mengumumkan kebenaran untuk mengadakan solat berjemaah di masjid selepas mendapat perkenan YDPA kelak.

“Saya tahu ramai umat Islam rindu untuk ke masjid, terutama untuk mendirikan solat Jumaat, solat terawih dan solat lima waktu,” ujarnya.

“Insya-Allah, kita doakan keadaan akan bertambah baik, tambahan pula banyak kawasan hijau Covid19 di seluruh negara,” katanya.

Terdahulu, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-5 telah bersidang bagi membincangkan Garis Panduan Solat Jumaat Dalam Tempoh PKPB.

Garis panduan tersebut disediakan melalui penelitian mufti seluruh negara untuk dipersembahkan dan diputuskan YDPA dan Majlis Raja-Raja Melayu selaku pihak bertanggungjawab berkaitan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan dan negeri-negeri tidak beraja.

Sumber: Harian Metro