Besar pengorbanan seorang wanita yang bergelar ibu kerana mereka sanggup menggadai nyawa demi melahirkan zuriat yang dikandung sembilan bulan di dalam rahim.

Seorang wanita berasal dari negara seberang, Indonesia, meninggal dunia beberapa hari selepas dia berjaya melahirkan bayi kembar tiga.

Difahamkan, allahyarhamah dikenali sebagai Rahmadina Nasution atau Dina, melahirkan anak-anaknya secara normal, namun mengalami pendarahan selepas itu.

Menurut Ketua Kampung Suka Makmur, Syarif Nasution, menjelaskan bahawa allahyarhamah telah dirujuk ke hospital dan kemudian dibawa pulang ke rumah.

Walau bagaimanapun, keadaannya semakin teruk dan menyebabkan Dina mengalami sesak nafas dan kemudian meninggal dunia di rumah keluarga suaminya.

Menurut akaun Facebook suami arwah, Erick Ibrahimsyah Riswanto, atau lebih dikenali sebagai Heri, dia meminta maaf bagi pihak allahyarhamah isterinya andai arwah pernah membuat salah dan meminta orang ramai mendoakan agar allahyarhamah ditempatkan di syurga.

Malah, terdapat beberapa pihak yang berminat mahu mengambil anak-anak kembarnya sebagai anak angkat, tetapi Heri menolak permintaan tersebut.

Semoga Heri dan anak-anak iaitu Khila, Khira dan Khina tabah menghadapi dugaan ini. Takziah diucapkan.

Sumber: Oh Bulan & Tribun News