Peniaga telah menerima padah apabila diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor kerana menggunakan alasan jualan murah tetapi sebenarnya menjual barangan tiruan.

Premis beroperasi di sebuah pusat beli belah yang baru dibuka beberapa bulan lalu di Jalan Tanjung Puteri berhampiran Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) menawarkan jualan murah sehingga 80 peratus bagi menipu pembeli termasuk pelancong asing.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Johor, Zubir Hamsa berkata, hasil risikan dan kerjasama pemilik cap dagang jenama pelbagai barangan dijual, pihaknya menjalankan operasi terhadap premis itu kira-kira 2 petang, semalam.

“Operasi membabitkan enam anggota penguat kuasa KPDNHEP Johor Bahru dilancarkan selepas melakukan risikan dan mendapat kerjasama pemilik cap dagang jenama yang dijual di premis berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati, pemilik premis menjual kasut dan baju dipercayai barang tiruan dan 1,233 barangan bernilai RM 116,986 disita.

“Semua barangan disita bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 (2)(c) Akta Perihal Dagangan 2011 dan akan mengenal pasti punca bekalan barangan itu diperoleh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya Zubir Hamsa, jika didapati bersalah peniaga berkenaan boleh didenda sebanyak RM10,000 bagi setiap perihal barangan dipamerkan atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi orang perseorangan.

Bagi kesalahan kali kedua, boleh didenda RM20,000 bagi setiap perihal barangan yang dipamerkan atau dipenjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya lagi, KPDNHEP Johor akan terus memeriksa dan memantau premis disyaki menawarkan atau membekalkan barangan tiruan dalam usaha melindungi hak harta intelek.

“Berikutan itu, peniaga dinasihatkan mematuhi undang-undang dan peraturan yang dikuatkuasakan dan tidak terbabit dalam aktiviti penjualan atau pengedaran barangan tiruan.

“Orang awam yang mempunyai maklumat diminta menyalurkan aduan kepada KPNDHEP atau melalui aduan WhatsApp KPDNHEP di talian 019-279 4317, e-aduan@kpdnhep.gov.my, aplikasi telefon pintar EzAduan atau hadir ke mana-mana Pejabat Cawangan Daerah KPDNHEP Johor,” katanya.

Sumber: Harian Metro